,

Apabila Nabi Mendengar Sahabat Cerita

ini reaksi baginda (baca selawat)

Sebagai orang yang mempunyai orang bawahan sama ada anak-anak, pelajar, murid, staf, orang kampung dan sebagainya. Pelbagai ragam orang bawahan yang mesti kita layan.

Antara kerenah dan keletah orang bawah adalah mereka suka bercerita sesuatu kepada kita. Antara cara Nabi Muhammad (bacalah selawat) melayan adalah tidak memberi apa-apa respon negatif terhadap kerenah mereka.

Ibnu Abbas menceritakan, “Ada seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata, “Malam tadi saya bermimpi melihat awan yang menaungi. Awan itu menurunkan lemak dan madu, saya melihat orang ramai mengambilnya. Ada yang mengambil dengan banyak, ada pula sedikit. Tiba-tiba ada seutas tali yang bersambung dari tanah ke langit. Kemudian seseorang mengambilnya, dia pun naik ke atas. Kemudian seseorang mengambilnya, dia pun naik ke atas. Lalu ada orang lain lagi yang mengambilnya, tetapi tali itu terputus, kemudian bersambung kembali.”

Abu Bakar berkata, “Wahai Rasulullah, bapaku menjadi tebusan untukmu. Demi Allah, benarkan saya menta’bir mimpinya.

Nabi Muhammad berkata, “Ta’birlah ia.”

Abu Bakar berkata, “Awan yang menaungi itu adalah Islam.” Rekod Sahih al-Bukhari dan Muslim

Nabi Muhammad tidak memberi respon;
“Apa saudara cerita ini? Saya tidak faham, panjang betul.”
“Macam-macam kamu ini, mimpi pun mahu cerita pada saya.”

Nabi Muhammad tidak mengkritik logik cerita itu;
“Mimpi apa ini? Awan menurunkan lemak dan madu? Peliknya!”
“Tali bersambung kembali? Mana boleh bersambung sendiri.”
“Ada orang naik ke atas awan? Macam-macamlah mimpi kamu.”

Nabi Muhammad tidak pula menyampuk sewaktu lelaki itu bercerita. Tidak pula berpaling ke arah lain apabila lelaki itu bercerita, tidak pula membuat reaksi tidak suka apabila mendengar cerita lelaki itu. Nabi Muhammad hanya diam sahaja.

Apabila seseorang bercerita berdasarkan mimpi ataupun imiginasinya, tidak perlu kritik apa-apa. Hal ini banyak terjadi kepada anak-anak kita yang suka bercerita berdasarkan imiginasi mereka. Biarkan sahaja mereka bercerita sehingga habis.

Begitu juga orang bawahan kita yang punya macam-macam idea gila-gila, dengar sahaja. Setuju, terus jalan, tak setuju diam.

Pengkaji hadith dan sirah Nabi dari sudut komunikasi, psikologi dan bisnes. Menulis dalam bahasa yang mudah. Maksudnya jelas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *