,

Bagaimana Nabi Berkomunikasi

Saya membaca banyak buku-buku komunikasi oleh ramai penulis. Semuanya bagus-bagus.

Namun saya terfikir. Satu soalan.

Bagaimanakah komunikasi dalam Islam? Siapakah model yang harus diikuti?
Rasulullah.

“Hmm…bagaimanakah Rasulullah berkomunikasi”.

Rasulullah (baca selawat) seorang pendakwah yang cukup hebat. Apa yang dia cakap sahabat akan terus buat.

Ini bererti Rasulullah bukan sekadar bercakap pada teori semata-mata. Namun Rasulullah berjaya menterjemahkannya kepada tindakan. Sahabat-sahabat buat, buat dan buat.

Baru-baru ini, saya bertemu Ustaz Ahmad Saifuddin. Beliau merupakah seorang pengkaji hadith dari aspek psikologi.

“Ustaz, bagaimanakah dakwah Nabi(baca selawat)?”

Ustaz Ahmad Saifuddin menerangkan.

Cermat dan Tepat

Nabi Muhammad (bacalah selawat) tidak pernah tersilap menyebut apa-apa perkataan. Seandainya ada tersilap, tentu sahabat akan meriwayatkannya dan memberitahu Nabi Muhammad membetulkan sebutan baginda.

Nabi Muhammad (bacalah selawat) tidak pernah tersilap menyebut apa-apa perkataan.

Bagaimana Nabi Muhammad langsung dapat menyebutnya dengan betul setiap kali bercakap?

Kita pun tidak tahu bagaimana Nabi lakukannya. Kita mungkin boleh mengandaikan bahawa Nabi Muhammad bercakap tidak terlalu cepat dan sekata. Sehingga orang yang mendengar tidak tersilap dengar dan mereka memahami setiap butir bicara Nabi Muhammad.

Tulisan juga salah satu bentuk komunikasi. Jadi, kita mesti berhati-hati apabila menulis sesuatu walaupun ia remeh. Tersilap tulis atau typo memang membawa risiko bahkan risiko yang sangat besar.

Tajwid Yang Betul

Nabi Muhammad (bacalah selawat) bercakap menggunakan Bahasa Arab yang standard. Baginda tidak bercakap Bahasa Arab dialek. Wujudkah dialek dalam Bahasa Arab di zaman Nabi Muhammad?

Memang wujud.

Tetapi Nabi Muhammad bercakap dengan Bahasa Arab Tinggi. Menepati tata bahasa yang betul dan lengkap.

Nabi Muhammad bercakap dengan Bahasa Arab Tinggi.

Nabi Muhammad juga menyebut perkataan dengan sebutan yang lengkap. Tidak menyebutnya secara pendek dan kontot.

Bahkan apabila Nabi Muhammad meminta sahabat menulis sesuatu. Maka disebut dengan lengkap dan sahabat menulis dengan lengkap.

Ini termasuk tulisan mushaf Al-Quran. Ia ditulis dengan ejaan yang lengkap. Apabila kita mahu bercakap atau menulis. Gunakan sebutan yang betul dan ejaan yang lengkap. Tata bahasa yang betul dan lengkap. Ia menepati sunnah komunikasi Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad bercakap dalam Bahasa Arab, bagaimana pula dengan Bahasa Melayu?
Sama sahaja. Bahasa adalah ciptaan Allah, ia digunakan sebagai medium komunikasi harian kita. Bercakap dengan tepat, betul dan lengkap adalah menepati dengan apa yang Nabi Muhammad lakukan.

Bahasa Masa Depan

Kebanyakan komunikasi Nabi Muhammad adalah gaya bahasa masa depan.

Bagaimanakah cara bercakap dengan gaya bahasa masa depan? Apakah bentuk bahasa masa lepas?

Kebanyakan komunikasi Nabi Muhammad adalah gaya bahasa masa depan.

Orang yang bercakap dengan gaya bahasa masa lepas adalah mereka yang selalu menggunakan perkataan ‘sebab’ dan ‘kerana’.

Contohnya ayat ini;
“Saya mahu kaya sebab… “
“Saya mahu kaya kerana…”
Apabila kita ucapkan ayat ini, kita akan mengimbau kembali pengalaman lepas kita.

Apabila kita mahu gunakan gaya bahasa masa depan. Gunakan perkataan ‘supaya’ dan ‘sehingga’.
“Saya mahu kaya supaya…”
“Saya mahu kaya sehingga…”

Apabila kita ucapkan ayat begini, kita akan bayangkan apa yang kita mahu capai.
Berlatih mulai sekarang. Ucapkan selalu contohnya;
“Kita pilih kaedah ini supaya…”
“Kita laksanakan kerja ini sehingga…”
“Tuan-tuan lakukan hal ini supaya/sehingga…”

Ayat Mengajak-Ngajak

Dalam agama Islam, banyak perkara yang perlu dilakukan sama ada berbentuk perbuatan, ucapan dan sebagainya.

Nabi Muhammad sebagai Utusan Allah, mesti mengarahkan umatnya melakukan amalan-amalan yang telah ditetapkan Allah.

Untuk mengarahkan mereka melakukannya, pelbagai bentuk komunikasi supaya orang Islam melaksanakannya.

Sukar untuk kita temui Nabi Muhammad menggunakan bentuk ayat mengajak-ngajak seperti perkataan, ‘marilah’, ‘jom’ ‘ayuhlah’ dan sebagainya.

Nabi Muhammad menggunakan ayat informasi untuk mengajak orang Islam melakukan amalan tertentu.

Nabi Muhammad menggunakan ayat informasi untuk mengajak orang Islam melakukan amalan tertentu.

Sebagai contoh, apabila mahu mengajak orang Islam datang beramai-ramai melakukan solat berjemaah di masjid.

Nabi Muhammad menggunakan ayat informasi, “Solat berjemaah lebih baik dari solat sendirian sebanyak 27 darjat.”

Nabi Muhammad tidak berkata;
“Jom kita solat jemaah sama-sama.”
“Ayuhlah beramai-ramai kita solat berjemaah.”
“Marilah kita solat jemaah di masjid ya.”

Bagaimana dengan seruan azan, “Marilah menunaikan solat!”, “Marilah menuju kejayaan!’
Itu adalah seruan panggilan solat. Bukan komunikasi interpersonal.

Seandainya ungkapan ‘marilah’ itu persuasif dalam komunikasi interpersonal, Nabi Muhammad tentu menggunakannya.

Pasca Penerangan

Usai mendengar Ustaz Ahmad Saifuddin, saya teruja. Inilah yang dicari-cari. Alhamdulillah.

Pada diri Rasulullah (baca selawat) ada contoh ikutan. Namun bagaimana mahu diikuti andai kita tak mengenali.

Rasulullah seorang yang cermat dan teliti. Baginda tahu apa yang dibuatnya. Setiap sebutan, pergerakan dan tindakan ada tujuan. Terima kasih Ya Rasulullah.

Pengkaji hadith dan sirah Nabi dari sudut komunikasi, psikologi dan bisnes. Menulis dalam bahasa yang mudah. Maksudnya jelas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *