,

Erti Sebenar Sujud Sajdah

Ibrah Surah As-Sajdah

Tiba dinihari Jumaat. Solat di masjid. Imam baca surah Sajdah. Kita sujud Sajdah. Adakah kita sujud lantaran hukum sunat muakkad atau Nabi buat, takkan kamu tidak mahu buat?

Kekadang pola pemikiran kita hanya sekadar berlegar sekitar hukum fiqah. Tak mampu berfikir lebih dari itu.

Saya percaya, baginda melakukan sujud Sajdah kerana hasil TADABBUR baginda kepada ayat-ayat Allah.

ADA 15 AYAT DALAM AL-QURAN YANG DIKATAKAN BAGINDA MELAKUKAN SUJUD SAJDAH.

Kesemua surah yang merakamkan ayat Sajdah adalah Makkiyah melainkan al-Hajj. Pernahkah kita fikir bagaimana “atmosfera” Makkiyah itu menyaksikan wahyu yang diturunkan dan dibaca baginda itu menyebabkan baginda sujud ?

ADA 15 AYAT DALAM AL-QURAN YANG DIKATAKAN BAGINDA MELAKUKAN SUJUD SAJDAH.

Kesemuanya tidak berada di permulaan surah, bahkan di pertengahan bahkan ada di penghujung surah. Pernahkah kita fikir apakah proses dilalui baginda sendiri melalui ayat-ayat sebelum ayat Sajdah tersebut sehingga baginda akhirnya tumbang, hilang upaya untuk membaca ayat seterusnya, lalu sujud ?

Wahyu yang pertama sendiri bermula perintah dua kali membaca (ayat 1 dan 3) dan barulah perintah untuk sujud muncul pada ayat 19 iaitu ayat terakhir. Apakah hikmahnya ?

Bahkan jarak antara ayat 1 hingga 5 yang mengandungi perintah BACA dengan ayat 6 hingga 19 yang mengandungi perintah SUJUD mengambil masa 3-4 tahun ? Apakah hikmahnya ?

jarak ayat

Pernah kita sendiri memahami bagaimana untuk sujud dari surah yang dinamakan dengan nama sujud itu sendiri iaitu السجدة ?

Apa yang dididik Allah pada 14 ayat surah al-Sajdah sebelum kita sujud selepas ayat ke 15 ?

Pernahkah kita meneliti kesemua 15 nas yang berkenaan lalu kita susun mana dahulu dan mana kemudian dari sudut Makkiyah dan Madaniyyahnya, agar kita tahu bagaimana Allah mendidik baginda dan para Sahabah untuk memahami erti sebenar SUJUD kepada Allah ?

SESUNGGUHNYA…

Ada proses intelektual dan emosional perlu kita lalui sebelum sujud Sajdah.

Agar kita benar-benar sujud atas dasar TADABBUR dan bukannya sekadar “hukumnya sunat muakkad”.

SUJUD YANG MENGUKUHKAN IMAN

Sungguh kesemua ahli sihir Firaun yang kafir di pagi hari akhirnya melakukan sujud Sajdah di petang hari sekali-kali bukan kerana mereka diperintahkan Musa atau Allah sendiri.

Semua berlaku dengan pantas kerana TADABBUR yang mereka lakukan kepada apa yang dianugerahkan Allah pada baginda Musa melalui tongkatnya.

Maka ayat SAJDAH bukanlah satu-satunya ayat yang kita diminta melakukan sujud SAJDAH.

AYAT YANG MENDIDIK

Ayat SAJDAH adalah ayat yang mendidik kita untuk sentiasa berusaha memahami ayat-ayat Allah hingga kita menemui sebab mengapa kita perlu kagum dengan Kitab ini dan mengapa ia benar-benar kalam Allah.

قُلْ آمِنُوا بِهِ أَوْ لَا تُؤْمِنُوا ۚ إِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مِن قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ سُجَّدًا

Katakanlah : “Sama ada kamu beriman kepada Al-Quran atau kamu tiada beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud.” (Al-Isra’, 17 : 107)

SUJUD MELATIH

Ayat SAJDAH berfungsi untuk melatih kita sujud kepada Allah setiap kali kita menemui sesuatu yang menakjubkan di dalam al-Quran yang tidak mampu kita ucapkan dengan perkataan atau terangkan kepada orang lain.

Seolah-olah hanya kita dipilih Allah untuk MENYAKSIKAN keajaiban ayat Allah yang berkenaan.

وَأُلْقِيَ السَّحَرَةُ سَاجِدِينَ قَالُوا آمَنَّا بِرَبِّ الْعَالَمِينَ رَبِّ مُوسَىٰ وَهَارُونَ

“Dan ahli-ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri mereka sujud. Sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam. Tuhan bagi Musa dan Harun”. (Al-A’raaf, 7 : 120-122)

Ustaz Syaari merupakan Principal Trainer di Ibrah Paradigm Training & Consultancy. Kini sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang Tafsir. Aktif berkongsi ibrah Al-Quran. Ikuti beliau di FB dan Telegram.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *