,

Kenapa Nabi Muhammad Tidak Melaksanakan Post Mortem?

Waktu makan tengahari, saya mendengar guru dan pegawai pendidikan bercakap-cakap tentang post mortem peperiksaan SPM. Mereka juga bercerita bagaimana pegawai pendidikan di peringkat negeri, pengetua, guru-guru juga stres apabila berhadapan dengan sesi post mortem keputusan SPM terutama bagi mata pelajaran yang jatuh keputusannya.

Dalam sirah Rasulullah Sollahu ‘Alayhi wa Sallam, baginda pernah tewas dalam peperangan khususnya Perang Uhud, sehingga mengorbankan bapa saudara kesayangan baginda Saidina Hamzah bin Abdul Mutalib.

Sepanjang kajian kami, tidak ditemui rekod, data dan maklumat yang menerangkan tentang sesi post mortem Perang Uhud.

Apa yang wujud dalam rekod sirah adalah kekalahan dalam Perang Uhud itu berlaku apabila pasukan pemanah turun dari Bukit Uhud untuk mengambil harta yang ditinggalkan oleh pihak musuh.

Kemungkinan besar Nabi Muhammad dan para sahabat tahu tentang punca kekalahan itu.

Walaupun Nabi Muhammad tahu puncanya, Nabi Muhammad TIDAK melakukan tindakan seperti berikut:

1. Menghukum sahabat yang menjadi punca kekalahan itu.

2. Mengumpulkan individu terlibat dan diberi ceramah khas.

3. Dihantar keluar Kota Madinah untuk diadakan program Team Building supaya kesedaran ukhuwwah Islamiyyah bertambah kuat.

4. Tidak membenarkan lagi individu terlibat menyertai peperangan yang lain.

Apa yang Nabi Muhammad lakukan adalah, apabila peperangan lain tercetus, maka difikirkan strategi baru untuk menghadapi musuh tanpa menyelidiki punca kekalahan yang berlaku pada peperangan sebelum.

Tambahan pula peperangan selepas Perang Uhud iaitu Perang Khandak langsung tidak melibatkan peranan pasukan pemanah.

Pernahkah Nabi Muhammad melakukan post mortem?

Secara umumnya post mortem itu adalah proses untuk mengetahui punca berlaku sesuatu yang tidak baik.

Suatu hari, Nabi Muhammad telah melihat Jabir lalu bertanya, “Apa yang berlaku sehingga saya melihat saudara dalam keadaan tidak bersemangat?”

Jabir menjawab, “Ayah saya terkorban di medan peperangan meninggalkan hutang yang banyak dan ahli keluarga yang ramai.”

Nabi Muhammad berkata, “Allah tidak pernah bercakap dengan sesiapa pun, melainkan dari balik tabir. Allah akan menghidupkan semula ayah saudara, dan Allah akan bercakap kepadanya tanpa ada tabir.” – Sahih Muslim

Bentuk pertanyaan Nabi Muhammad itu seperti bentuk post mortem. Walaupun Nabi Muhammad tahu punca kesedihan Jabir itu tiga situasi iaitu Jabir sedih atas kematian ayahnya, ayahnya meninggalkan hutang dan ahli keluarga yang ramai.

Nabi Muhammad hanya menyelesaikan kesedihan hati Jabir atas kematian ayahnya. Manakala situasi yang lain tidak diselesaikan pada ketika itu.

Dalam amalan lazim post mortem, tujuan disiasat puncanya supaya kita menyelesaikan puncanya dengan andaian situasi itu dapat diselesaikan.

Sebagai contoh, mata pelajaran tersebut mengalami penurunan dan dikenal pasti puncanya adalah pelajar tidak memahami kehendak soalan peperiksaan.

Maka, kita pun mewujudkan bajet untuk mengadakan bengkel dan kursus untuk guru-guru supaya dapat menerangkan kepada pelajar kehendak soalan yang betul dan sebagainya.

Sedangkan ia hanya salah satu daripada punca berlaku demikian. Faktor-faktornya saling berkait antara pelajar, guru, sekolah, penggubal soalan, JPN dan sebagainya.

Mungkin puncanya adalah perkara yang kita tidak terlintas langsung dalam fikiran kita.

Post mortem bukanlah sesuatu yang buruk. Ia bermanfaat seandainya dilaksanakan memang bertujuan untuk membantu dan menyelesaikan situasi yang berlaku sebagaimana dalam kes Jabir di atas.

Post mortem yang dilaksanakan secara berjemaah dalam kumpulan yang ramai. Di mana ada seorang ketua yang akan mempersoalkan kenapa ia boleh berlaku dan sebagainya. Sedangkan punca berlaku situasi itu mungkin juga datang daripada keputusan ketua berkenaan yang tidak disedarinya sebelum ini.

Justeru, post mortem secara beramai-ramai mungkin mendatangkan mudarat yang lebih besar berbanding manfaat yang diperolehi.

Antara risiko post mortem yang biasanya berlaku.

1. Akan ada individu sama ada ketua atau bukan ketua yang akan menyalahkan orang lain dengan bertujuan untuk mengelak daripada dipersalahkan.

2. Perbincangan menjurus kepada mencari punca masalah dan individu yang menggalas punca masalah itu. Lalu dibincangkan panjang lebar apa yang berlaku pada punca itu sahaja.

3. Apabila ditemui punca masalah yang diandaikan menjadi punca utama, maka punca masalah yang dianggap kecil diabaikan maka orang berkenaan tidak dipersalahkan.

Teknik yang betul untuk berdepan dengan situasi yang buruk adalah :

1. Bentangkan data dan rekod apa yang berlaku. Tanpa menyebut sama ada ia naik atau turun. Orang yang tahu nombor akan tahu ia naik atau turun.

2. Minta cadangan strategi dan kaedah daripada semua orang untuk meningkatkan lagi pencapaian untuk tahun ini.

3. Bincangkan kaedah dan strategi yang dipilih berdasarkan kriteria tertentu sama ada dari sudut kos, keupayaan tenaga dan jangkaan hasil yang diperolehi.

4. Laksanakan strategi dan kaedah tersebut.

 

Justeru, post mortem secara beramai-ramai mungkin mendatangkan mudarat yang lebih besar berbanding manfaat yang diperolehi.

Pengkaji hadith dan sirah Nabi dari sudut komunikasi, psikologi dan bisnes. Menulis dalam bahasa yang mudah. Maksudnya jelas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *