, ,

Maryam Baca Iqra Dan Tak Ingat Baris

bagaimana cara mendidik anak

Satu hari saya sedang mengajarkan anak Iqra. Dia baca satu persatu. Tiba di satu tempat dia berhenti. Dia pandang. Saya pandang kembali.

Saya, “Kenapa Maryam?”.

Maryam, “Tak tahu?”.

Saya, “Baik. Baris apa itu?”

Maryam, “Hadapan”.

Saya, “Macam mana bunyinya?”

Maryam, “Hmm…tak tahu…”.

Saya berfikir. Mahu buat apa. Marah? Tenang?

Kemudian teringat fasa pendidikan anak. Maryam berada di peringkat kedua, membiasakan. Jadi saya teruskan. Mana yang dia tak tahu, bantu dan sokong dia.

Mendidik anak satu perkara yang mencabar. Suara mudah meninggi. Silap hari bulan boleh jerit dan melenting. Ini bahaya. Kesan utama adalah kita membina kaitan yang tak bagus.

Apabila kita memarahi anak kerana bacaan salah, anak akan mula mengaitkan baca Al-Quran = kena marah. Lalu mereka jadi tak berminat.

Dalam mendidik anak, ada sekurang-kurangnya 4 fasa yang perlu dilalui. Setiap fasa ini mempunyai masa yang tersendiri.

Fasa 1 : Memperkenalkan

Peringkat ini adalah peringkat yang paling sukar. Ini kerana kita mahu memperkenalkan sesuatu yang anak tidak biasa. Sebagai contoh, kita mahu anak belajar mengaji Al-Quran, walhal ini bukan sesuatu yang pernah dia pelajari.

Di sini kuncinya terletak pada mencetuskan kegembiraan. Anak-anak perlu diberikan rasa seronok mempelajari sesuatu yang baru. Supaya mereka mahu dan mahu lagi.

Andai anak melakukan kesilapan pada ketika ini, biarkan dahulu. Bagi ibu bapa, beritahu diri sendiri “Anak ini baru belajar perkara ini. Usah terburu-buru mahu menegur dan marah”.

Fasa 2 : Membiasakan

Sudahkah kita mencipta rutin harian anak-anak. Perhatikan betul-betul, andai kita tak cipta rutin, ianya akan terbentuk dengan sendiri.

Seorang kawan datang berjumpa. Dia beritahu anak dia sering main ipad. Saya tanya siapa yang beri. Dia kata dia yang beri. Kemudian tanya lagi berapa kali dia berikan anak main ipad.

Kawan, “Balik rumah, letak ipad. Anak nampak terus minta”.

Ini contoh bagaimana anak sudah melalui fasa memperkenalkan dan seterusnya dibiasakan. Anak rasa seronok main ipad. Lalu anak membiasakan bermain ipad. Kesannya bermain ipad sudah menjadi rutin anak.

Rutin terbentuk menerusi perkara yang diulang-ulang. Bagi anak kecil, kita boleh tidak terlalu ketat dalam membentuk rutin. Paling penting kita tentukan rutin anak itu. Contohnya gosok gigi, makan, bermain permainan, keluar jalan-jalan di luar rumah, main bersama ibu bapa, solat dan tidur.

Pada peringkat membiasakan banyakkan memuji anak. Ini menjadikan mereka seronok melakukan perkara itu. Sama seperti di peringkat pertama, kuncinya pada mengekalkan keseronokan.

Apabila memuji, puji usaha anak. Bukan puji sifat anak. Pujian usaha membentuk Growth Mindset, manakalah pujian sifat membentuk Fixed Mindset.

Contoh pujian usaha,
“Umi suka sangat Ahmad tolong ambilkan baju di ampaian tadi”.

Contoh pujian sifat,
“Cantiknya anak Umi ini. Paling cantik sangat”.

growth mindset vs fixed mindset
kredit: Multibrief

Fasa 3: Memperkemaskan

Di peringkat ini anak-anak sudah biasa. Pada ketika ini anak-anak sudah boleh menerima teguran dan mudah diperbetulkan. Jadi ini adalah ruang yang baik bagi menambah baik perbuatan anak-anak.

Bayangkan sewaktu kita belajar bawa kereta dahulu. Peringkat pertama rasa janggal. Bawa perlahan-lahan. Mahu tukar gear pun perlu fikir. Kemudian kita sudah mula biasa. Setiap pergerakan makin lancar. Masuk tahap seterusnya semakin bagus. Pada ketika ini sudah mula cipta gaya tersendiri. Ada yang mula pegang stereng sebelah tangan saja.

Apabila anak masih lagi melakukan kesilapan pada peringkat ini, usah mudah marah. Bertenang dahulu. Ingat dalam minda, lain anak lain cara penerimaanya. Pengulangan adalah kunci memperbetulkan.

Teruskan pengulangan memeperbaiki dan memperkemaskan perbuatan anak-anak. Ada ibu bapa suka membandingkan. “Anak jiran sebelah sudah boleh membaca, anak kita belum lagi”.

Perbuatan membandingkan tidak betul. Setiap anak ada keunikan dan kelebihan tersendiri. Apabila ibu bapa asyik membuat perbandingan, kesannya pada keyakinan diri anak. Anak mudah rasa diperkecilkan. Lalu mula tidak yakin dengan diri sendiri.

Perubahan Fasa

Setiap anak berpindah dari satu fasa ke fasa yang lain mengikut kemampuan tersendiri. Tidak ada masa yang spesifik. Kita boleh menguji anak-anak bagi melihat kemampuan mereka.

Sebagai contoh, apabila anak belum boleh membiasakan diri mereka dengan rutin yang baru, ini bermakna anak itu masih berada di fasa pertama. Lihat kunci fasa pertama dan fokus pada kunci itu.

Cara Nabi SAW Menegur Anak

Proses memperbetulkan kesilapan anak adalah satu seni. Apabila seni, maka tak ada satu cara spesifik yang berjaya untuk semua.

Dr Muhammad Nur Abdul Hafizh Suwaid dalam bukunya, Prophetic Parenting, mengulas cara Nabi menasihati dan menegur anak-anak. Apabila Nabi mahu memberikan arahan dan teguran pada anak kecil, Nabi sangat peka dalam memilih waktu teguran dilakukan.

Dr Muhammad mengatakan sekurang-kurangnya ada tiga waktu Nabi akan mengeluarkan arahan pada anak-anak.

Yang pertama Nabi akan memberikan arahan pada ketika dalam perjalanan. Iaitu ketika Nabi bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Ibnu Abbas RA meriwayatkan,

Nabi(baca selawat) diberi hadiah seekor bighal oleh Kisra. Baginda menungganginya dengan tali kekang dari serabut. Baginda memboncengkan aku di belakangnya. Kemudian baginda berjalan. Tidak berapa lama, baginda menoleh dan memanggil, “Hai anak kecil”.

Aku jawab, “Labbaika, wahai Rasulullah”.

Baginda bersabda, “Jagalah agama Allah, nescaya Dia menjagamu..”

Waktu yang kedua adalah ketika makan. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Umar bin Abi Salamah RA berkata,

“Aku masih anak-anak ketika berada dalam pengawasan Rasulullah (baca selawat). Tanganku bergerak ke sana ke mari di tempat makanan. Rasulullah (baca selawat) bersabda kepadaku, “Hai anak kecil, ucapkanlah basmalah, makanlah dengan tangan kanan dan makanlah apa yang ada di hadapanmu”. Sejak itu begitulah caraku makan”.

Dan waktu yang ketiga adalah pada ketika anak itu sakit. Menurut Dr Muhammad apabila melihat anak yang sakit, hati orang dewasa jadi lembut. Amarah tak meninggi. Justeru kita dapat berkomunikasi dengan anak kecil dengan cara yang baik.

Pendapat ini diambil menerusi kisah Rasulullah menziarahi seorang anak Yahudi yang sedang sakit. Kisahnya begini.

Seorang anak Yahudi yang menjadi pelayan Nabi (baca selawat) sakit. Nabi (baca selawat) datang menjenguknya. Baginda duduk dekat kepalanya dan bersabda kepadanya, “Masuk Islamlah engkau”.

Dia melihat ke arah bapanya yang saat itu juga berada di sana. Si bapa berkata, “Turutilah Abu Qasim”. Maka dia pun masuk Islam.

Nabi (baca selawat) pergi sambil berdoa, “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkannnya dari api neraka”.

Dari ketiga-tiga kisah ini, kita akan mendapati Nabi (baca selawat) sangat peka saat dan ketika mahu menasihati anak-anak. Nabi tidak terburu-buru menyampaikan sesuatu.

Jadi begitulah kita ibu bapa. Seni mendidik anak memerlukan kreativiti dan kesabaran. Ibarat menanam benih, perlu dijaga hari demi hari. Hujungnya nanti barulah keluar buah yang masak ranum.

Written by Wan Yusof

Merupakan bapa kepada dua orang anak. Mengkaji ilmu parenting dari pelbagai sumber. Berkongsi untuk berbakti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *