,

Mengapa Nabi Sebut Berkata Baik

tak sebut berkata benar…hmm

Abu Hurairah memberitahu bahawa, Nabi Muhammad Sollahu ‘Alayhi wa Sallam berkata, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, dia mesti berkata yang baik atau pun dia diam.” – Sahih al-Bukhari

Apabila terbaca hadith ini, terlintas di fikiran. Mengapa Nabi Muhammad tidak menyebut `berkata benar’ tetapi menyebut ‘berkata yang baik’?

Apa beza keduanya? Adakah berkata benar itu bukan berkata yang baik. Atau pun berkata baik itu bukan berkata benar? Setiap tutur kata kita ada kesan kepada pendengar. Sama ada ia benar atau tidak, kesan kepada pendengar tetap berlaku. Sama ada kesan yang baik atau buruk.

Katakanlah kita berjumpa dengan seorang kawan kita yang memang pemalas. Lalu kita berkata kepadanya, “Engkau memang seorang pemalas.” Dengan intonasi yang serius. Kita memang berkata benar.

Soalnya apakah kesan kepada emosi rakan kita itu? Adakah kesannya bermanfaat atau lebih mudarat? Dengan sangkaan yang kuat, kita rasa rakan kita itu akan respon dengan cara yang negatif.

Kesan daripada percakapan kita terhasil daripada 3 faktor :

1. Status kita berbanding pendengar. Sekiranya kita seorang yang berpengaruh dan dihormati oleh pendengar, kita maki hamun sekali pun mungkin menghasilkan kesan yang positif. Nabi Muhammad tidak memaki hamun orang.

2. Perkataan yang kita gunakan dalam percakapan kita. Pilihan perkataan yang positif kemungkinan besar menghasilkan kesan yang positif.

3. Intonasi suara yang betul. Seandainya nada suara seperti bergurau, ia menghasilkan kesan berbeza dengan nada suara yang serius.

Bercakap benar belum tentu menghasilkan kesan yang baik kepada pendengar. Manakala bercakap yang baik-baik sudah tentu benar dan menghasilkan kesan yang positif.

Bagaimana pula seandainya kita tidak tahu kesan dari percakapan kita itu akan menghasilkan kesan yang baik atau sebaliknya?

Kita diam sahaja, sehingga kita tahu ia akan menghasilkan kesan yang baik.

Diam tidak semestinya terus diam sehingga kita diperlekeh aqidah dan agama. Kita bercakap pada had yang tidak menghasilkan kesan mudarat.

Bercakap benar ada dua bentuk.
+ Fakta atau informasi yang sahih.
+ Pendapat dan sangkaan yang betul.

Walaupun kita memberikan fakta yang memang sahih, ia belum tentu memberi kesan yang baik kepada pendengar. Justeru, bagaimana?

Kita boleh pilih.
1. Pilih untuk diam. Biarkan mereka tahu sendiri.
2. Beritahu sahaja faktanya, asalkan fakta itu dapat membantu mereka. Apa kesannya, terserah kepada Allah.

Syaratnya tidak diselit bersama pendapat peribadi kita. Membuat pilihan antara bercakap atau diam merupakan pilihan yang kritikal. Terlajak perahu boleh diundur. Terlajak kata buruk padahnya.

Walaupun perahu tidak ada gear undur ke belakang, boleh juga diusahakan untuk undur semula. Terlajak kata, kesannya merbahaya walaupun kita memohon maaf segera.

Pengkaji hadith dan sirah Nabi dari sudut komunikasi, psikologi dan bisnes. Menulis dalam bahasa yang mudah. Maksudnya jelas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *